Sunday, March 22, 2009

mencintai mu dari jauh....(dpt dr kwn...dia email...)

"Zakuan,berdiri diluar kelas dan siapkan kerja sekolah kamu!"
Suara cikgu Hasnah melengking panjang memecahkan kesunyian aras 3 Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur itu.
Setiap pasang mata dalam kelas 5 Abu Bakar dan 5 Umar yang berseselahan dengan 5 Abu Bakar itu terarah kepadanya.Tetapi Zakuan dengan wajah bagai tiada apa-apa berlaku terus melangkah keluar kelas menjinjing buku latihan Matematik Tambahan ke koridor di hadapan 5 Abu Bakar.Pelajar-pelajar perempuan tingkatan satu Uthman yang sedang menaiki tangga untuk ke kelas mereka yang terletak setentang dengan 5 Abu Bakar terkekeh-kekeh menahan ketawa.Itu bukan kali pertama mereka melihat Zakuan,seorang bekas pengawas sekolah dihukum berdiri di hadapan kelas kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

Tapi Zakuan tetap Zakuan yang biasa.Walau apa pun yang terjadi,tidak akan pernah mahu menarik minat Zakuan.Dan selaku guru kelasnya,cikgu Hasnah tahu itu.Satu sekolah tahu akan perangai Zakuan itu.Sedari pembantu am rendah,penyelia asrama,pekerja dewan makan,pengusaha kantin,sehingga kepada pengetua.Mereka tahu,Zakuan tidak akan menunjukkan reaksi yang mereka harapkan andai kekerasan digunakan ke atasnya.Zakuan kepala batu,keras hati.Tetapi cikgu Hasnah sudah hilang sabar.Dia tahu Zakuan tidak akan terusik sedikit pun dengan hukuman berdiri di luar kelas tersebut.Dan cikgu Hasnah tahu,satu sekolah tahu,teman-teman Zakuan juga tahu,dalam kepala Zakuan yang keras bagai batu itu,terdapat kecerdikan dan kepintaran yang terbukti.

Ketika keputusan sijil Penilaian Menengah Rendah diumumkan dahulu,Zakuan menjulang piala pelajar terbaik antara pelajar yang menggondol 9A.Dan itu melayakkan Zakuan menempatkan diri di Kolej Islam Sultan Azlan Shah,serta Maktab Rendah Sains MARA.Namun Zakuan memilih untuk meneruskan pelajaran di sekolah ini,sekolah yang hanya ternama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,jaguh kampung.Kerna itulah Zakuan di sini,di koridor kelas 5 Abu Bakar,sedang berdiri sambil menyiapkan kerja rumah Matematik Tambahan.Minggu lepas buku latihannya tertinggal di asrama.Maka dia meminta izin guru kelasnya itu untuk pulang mengambil buku latihannya di dormitori Quality.

Dormitori Quality ini pula satu-satunya dormitori yang baru diwujudkan sejak tahun ini.Dan Zakuan terpilih menjadi ketuanya yang pertama.Pernah terjadi semasa perhimpunan asrama pada hari Ahad,setiap nama yang pulang tanpa kebenaran telah diumumkan oleh Penolong Kanan HEM mengikut setiap dormitori.Setiap dormitori memiliki satu atau dua orang yang pulang tanpa kebenaran.
Apabila sampai giliran dormitori Quality,pengumumannya berbunyi begini,"Dorm Quality..Empat orang...Sahaja yang tinggal!Yang lain semua balik tanpa kebenaran termasuk ketua dorm sekali!"

Dan pengumuman ini telah membuatkan suasana perhimpunan gamat dengan hilai tawa dan suara-suara yang membenci,mengutuk,merasakan perkara itu suatu bahan ketawa,malahan juga ada yang kagum dengan peristiwa tersebut.Maka semua ahli dormitori Qualiti digantung kebenaran balik bermalam pada minggu berikutnya.Istimewanya dormitori Qualiti ini memiliki sebelas orang penghuni tingkatan satu berbanding dormitori lain yang hanya mempunyai paling ramai empat orang sahaja pelajar tingkatan satu bagi setiap dormitori.
Jadi tentunya suasana di dormitori ini agak seperti taman kanak-kanak sedikit.Suasana ini lebih nyata apabila Zakuan yang jenis tidak peduli itu menjadi ketua dormitorinya yang pertama.

Asri,Shahril,Azan,dan Nazir merupakan teman-teman rapat Zakuan.Namun teman-temannya ini belajar di kelas berasingan.Asri di kelas 5 Uthman,Shahril,Azan dan Nazir pula di kelas 5 Umar.Tetapi mereka akan berkumpul bersama di bilik bersebelahan dormitori Quality pada setiap petang.Sebenarnya mereka semua gemar bermain bola tampar atau futsal setiap petang sama ada di gelanggang bola tampar atau di belakang bengkel kemahiran hidup.Namun desakan Sijil Pelajaran Malaysia yang semakin hampir tidak sampai dua bulan lagi agak memperlahankan aktiviti mereka tersebut.Walaupun demikian,kenakalan mereka tetap berjalan seperti biasa.Dan kenakalan ini agak banyak kalau mahu dikira yang kecil-kecil sekali.Mencuri ikan di kolam sekolah,dan di goreng menggunakan peralatan milik pengakap (ini tidak menjadi masalah kerana Asri merupakan AJK tertinggi pengakap),menyorokkan motorsikal drebar bas sekolah di dalam setor tukang kebun.Ini kerana sikap drebar bas yang hampir-hampir mahu meragut nyawa seluruh penumpang bas apabila mengambil selekoh dengan laju (perlu diketahui bas milik sekolah bagaikan pusaka dari perang dunia kedua).Mencuri makanan di dewan makan sekolah (bagi menggantikan makanan yang mereka terlepas peluang makan,atau sengaja tidak mahu makan),dan memanjat puncak keagungan di sekolah-sekolah berasrama,iaitu menara tangki air sekolah yang tertinggi.Dan di atas dada tangki itu ternukil hasil-hasil kerjatangan mereka yang berupa lukisan daripada Zakuan,Shahril,dan Azan,serta tulisan daripada Nazir dan Asri yang tidak pandai melukis sama sekali.

Akan tetapi,Zakuan tertarik pada hal-hal yang berkaitan ketenteraan.Semasa hari kokurikulum sekolah,gerai pameran milik Angkatan Tentera Malaysia menjadi gerai yang paling lama dan banyak kali disinggahi Zakuan.Zakuan asyik membelek-belek setiap senjata yang dipamerkan,dan bertanya pelbagai soalan kepada anggota tentera yang bertugas.

Nur Nadia,teman sekelas Zakuan yang gerai jualannya bersebelahan dengan gerai pameran Tentera Darat tersebut menyedari akan sikap Zakuan yang berminat dengan gerai pameran Angkatan Tentera itu.BAgi Ndia,ini suatu perkara yang pelik kerana Zakuan yang dikenali sejak di tingkatan satu lagi tidak akan pernah menumpukan perhatian pada sesuatu perkara.Dan Nadia tidak pernah melihat riak berminat pada wajah Zakuan.Hari itu,Nadia melihat Zakuan leka,asyik,dan tenggelam dalam riak wajah berminat.Selepas itu,cerita tentang Zakuan berminat tentang hal-hal ketenteraan pun pecah di kalangan pelajar puteri dan seterusnya kepada para guru yang prihatin akan pelajaran pelajar bijak itu.

Nadia sendiri adalah teman rapat Zakuan sedari tingkatan satu lagi.Sama-sama sekelas,tetapi terpisah ketika di tingkatan dua dan tiga lalu bertemu kembali di kelas yang sama semasa di tingkatan lima.Mereka juga sama-sama dilantik sebagai pengawas sekolah semasa di tingkatan dua.Keramahan Zakuan ketika melayan Nadia ini menjadikan Zakuan dan Nadia sebagai pasangan gosip baik di kalangan guru mahupun pelajar.Satu sekolah juga tahu,Zakuan dan Nadia selalu bertukar-tukar surat,kad raya,dan pemberian seperti coklat,kuih,dan sebagainya.Sebenarnya surat-surat mereka berdua tidaklah terisi dengan kata-kata cinta atau rindu.tetapi selalunya surat daripada Nadia yang lebih panjang akan terisi dengan ucapan-ucapan pembakar semangat belajar dan berkongsi masalah masing-masing.

Namun cerita hubungan rapat antara Zakuan dan Nadia adalah cerita lama.Sejak hari itu,sejak Zakuan menolak untuk meneruskan khidmat sebagai pengawas sekolah dan memilih untuk menjadi pustakawan,hubungan akrab mereka renggang.Zakuan mempunyai alasan tersendiri untuk menolak jawatan tersebut.namun Nadia yang jiwanya mula dipenuhi emosi seorang wanita,tidak dapat menerima alasan zakuan.

"Saya cuma mahu bertukar angin.Mahu bergelumang dengan buku pula.Sudah puas bermain dengan masalah disiplin sekolah,"jelas Zakuan ketika menelefon ke rumah Nadia sewaktu cuti sekolah selepas PMR.
"Saya tak sangka awak begini.Awak pengecut!Baik,ini last saya bercakap dengan awak.Assalamualaikum!"
Gagang telefon dihempaskan.
Dan itulah kali terakhir mereka berbual.Selepas itu hanya sekali sahaja Nadia menyapanya.
"Tolong ambilkan penyapu tu."Penyapu yang tersandar pada dinding di tepi tempat duduk Zakuan itu dicapai oleh Zakuan.Zakuan menghulurkannya kepada Nadia tanpa sebarang riak wajah walau disedarinya anak mata Nadia sedang memandangnya dengan harapan mendapat sebarang balasan kata daripadanya.Itulah penutup segalanya yang telah mereka pupuk sedari tingkatan satu lagi.Penutup yang tergantung.Tanpa noktah.

Kenakalan zaman persekolahan mereka ini diabadikan dalam gambar (Azan yang ketika menjadi jurugambar di atas tangki air terketar-ketar tangannya menyebabkan kualiti gambar agak buruk) dan diabadikan dalam hati dan kenangan zaman remaja masing-masing.

Selepas menamatkan persekolahan dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang cemerlang,Zakuan ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik.Namun Zakuan memilih untuk mendapatkan diploma menerusi pengajian di Kolej Tentera Darat,Ulu Tiram,Johor.

Ada sekali itu dia bertembung dengan Nadia semasa pameran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).Berselisih ketika dia menuruni laluan LRT manakala Nadia mahu menuju ke kaunter tiket.Nadia perasan akan kehadiran Zakuan,tapi sengaja ditundukkan sedikit kepalanya.Mungkin untuk tidak dikenali oleh Zakuan,atau supaya Zakuan menyapanya terlebih dulu.Akhirnya kedua dua insan tersebut berlalu tanpa sebarang kata atau sapa.Bagai mereka tidak pernah kenal atau mempunyai apa-apa kaitan.Itu,kali terakhir mereka bertemu.Selepas itu Zakuan mendapat tahu Nadia yang baru setahun melanjutkan pengajian di UiTM telah mengikat perkahwinan dengan seorang jejaka.

Ini diketahui Zakuan daripada teman-teman lamanya.tentunya jemputan perkahwinan itu diabaikan oleh Zakuan.Selepas itu menyusul pula cerita-cerita liar yang mengatakan Zakuan kecewa kerana Nadia berkahwin dengan lelaki lain.Zakuan tidak memperdulikan itu,kerana Zakuan tetap Zakuan yang dulu.Zakuan yang tidak kisah didenda berdiri luar kelas kerana tidak siap kerja rumahnya.Zakuan yang hanya tertarik pada soal atau hal-hal ketenteraan.Dan Zakuan yang hanya tertarik untuk berkawan dengan hanya seorang perempuan.

*******************************************************

"Tuan,musuh makin hampir.Koperal Yaakub dan Hasyim terperangkap dihadapan!"Laungan Sarjan Saari menyedarkan Leftenan Zakuan daripada lamunannya.
"Saya faham sarjan.Tapi keadaan terlalu bahaya untuk kita merempuh ke depan.Peluru musuh bersimpang siur atas kepala kita!"Leftenan Zakuan membetulkan kedudukannya sambil membalas tembakan-tembakan rambang musuh ke arah kedudukan platunnya itu.

"Tuan,Khalid kena!"Koperal Zainal yang bertahan di penjuru sebelah kanan kubu Tentera Darat Malaysia di Somalia itu bertempik setelah seorang anggota seksyennya terkena peluru musuh pada lengannya.
"Bertahan dulu koperal!Saya dah mohon bantuan dari markas!"Leftenan Zakuan cuba menenangkan perasaan anak buahnya yang agak cemas dengan keadaan yang nampaknya kurang berpihak kepada mereka itu.

Pasukan yang diketuai Leftenan Zakuan tersebut sebenarnya sedang menjalankan rondaan rutin harian bagi memastikan tiada sebarang aktiviti musuh dalam kawasan jagaan mereka.Segalanga berjalan seperti biasa sebelum tiba-tiba pasukan itu diserang ketika melalui sebuah kawasan perumahan di bandar Somalia itu.Arah kedudukan penyerang sukar dipastikan kerana kedudukan bangunan yang tidak teratur dan kebanyakannya sudah rosak.Alat perhubungan sudah tidak dapat digunakan lagi.Ketika Leftenan Zakuan menghubungi markas Tentera Darat Malaysia tadi,tiba-tiba sebutir peluru melayang tepat mengenai alat perhubungan tersebut,Serpihannya melayang mencederakan pipi Leftenan Zakuan sedikit.

"Saari,awak bertahan di sini.Cover saya!Saya mahu menyelamatkan Koperal Yaakub dan Hasyim di hadapan!"Leftenan Zakuan memberikan arahan terus kepada Sarjan Saari.
"Tuan,biar saya yang pergi,"balas Sarjan Saari yang risaukan keselamatan ketuanya itu.
"Ini arahan,sarjan!Cover saya dalam kiraan tiga!"Leftenan Zakuan mengeraskan suara tanda arahannya wajib dipatuhi.
Selepas tamat kiraan tiga,Sarjan Saari melepaskan tembakan memanjang ke arah kedudukan yang dijangka musuh berada dengan menggunakan senjata bantuan GPMG-sejenis machine gun.

Serentak itu Leftenan Zakuan berlari secara zig-zag menuju ke arah tempat kedua-dua anggotanya terperangkap itu.
"Cepat undur!Undur!"Leftenan Zakuan mencampakkan sebutir bom tangan ke arah cahaya-cahaya api yang terbit dari muncung senjata musuh.Keadaan ketika itu sudah remang-remang senja.Terdengar laungan dan pekikan dari arah pihak musuh.Koperal Yaakub dan Prebet Hasyim pantas berundur dengan melepaskan beberapa tembakan rawak daripada raifal automatik mereka.Mereka terus berlari zig-zag ke arah kedudukan platun mereka.

"Mana Leftenan Zakuan?"Sarjan Saari yang sedari tadi sibuk melepaskan tembakan ke arah musuh bertanya kepada Koperal Yaakub dan Prebet Hasyim sebaik sahaja mereka berdua sampai ke situ.
"Dia berseorangankah di hadapan?"Prebet Hasyim membalas pertanyaan Sarjan Saari dengan soalan.
"Iya.Dia tak benarkan sesiapa pun mengikutnya,"balas Sarjan Saari.
Setiap anggota platun Rejimen Askar Melayu Diraja itu memandang sesama sendiri.Mereka mati akal.

Beberapa minit selepas insiden Leftenan Zakuan menyerbu kedudukan musuh seorang diri itu,bantuan dari markas pun tiba.Ketika itu tembakan dari musuh sudah tidak kedengaran lagi.Satu pasukan yang diketuai Leftenan Hazmin,rakan setugas Leftenan Zakuan diarahkan memeriksa keadaan temannya itu di hadapan.Leftenan Hazmin mengetuai pasukannya berhati-hati,dan berwaspada.Tembakan musuh sudah berhenti tetapi musuh mungkin sedang menunggu kehadiran mereka di situ.

Tiba-tiba Leftenan Hazmin mengangkat tangan menandakan isyarat berhenti kepada anggota pasukannya.Mereka semua tunduk menghalakan muncung raifal ke arah yang sepatutnya.

Leftenan Zakuan kaku.Ada lubng hitam kecil yang menembusi lehernya dari sebelah kiri.Dan lubang itu membesar ketika peluru itu mahu keluar dari sebelah kanan lehernya.Lehernya terkulai hampir patah.Matanya tertutup rapat.Ada air bening yang mengalir dari matanya,berpencar dan berbaur dengan darah apabila melewati pipinya yang bertompok darah-darah kering itu.Dadanya sudah tidak bergelombang lagi.Dia sudah tidak menarik atau menghembuskan nafas lagi.Leftenan Zakuan sudah meninggalkan mereka.Menghembuskan nafas di bumi Somalia yang beratus-ratus ribu kilometernya dari Malaysia.

Kelihatan raifal milik Leftenan Zakuan telah hilang.Peralatannya juga hilang.Dirampas oleh musuh.Butnya juga diambil.Leftenan Hazmin menahan geram melihat mayat temannya itu diselongkar dan diperlakukan sedemikian.Sekeping kertas berlipat yang kusam separuh terbuka terkapar di atas dada mayat Leftenan Zakuan.Memikirkan mungkin surat tersebut mungkin daripada musuh,Leftenan Hazmin pantas membukanya.



Assalamualaikum Zakuan,

Moga awak sihat hari ini.Sebenarnya semasa saya mahu menahan Amirul kerana tidak memakai songkok selepas habis perhimpunan tadi,dia cuba melawan.Tapi bila awak lalu,dia terus diam.Tentu hebat sungguh pengaruh awak sampai budak senakal Amirul itu pun takut pada awak.Terima kasih Zakuan.Nanti kalau nak cari suami,saya nak cari yang macam awak.Disegani,dihormati,dan cute.Hehe..Kalau awak saja pun tak apa.Tak perlu cari jauh-jauh.Hehe..Belajar rajin-rajin.jumpa kat mesyuarat petang nanti.

Wassalam.

Nur Nadia,
3 Abu Bakar

No comments:

Post a Comment